Saturday 16 April 2011

BUKU : AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI - Bob Lokman & Riduan Mohamad Nor



Bob Lokman telah mengejutkan arena hiburan tempatan apabila mengumumkan penyertaan dalam parti PAS baru-baru ini. Bukan itu saja, Bob Lokman juga telah menukar penampilan dan menjadi penceramah PAS yang paling hot ketika ini.

Apa yang menyebabkan Bob Lokman begitu tekad membuat perubahan ini ketika namanya tengah laku sebagai pelakon drama bersiri dan juri tetap rancangan Raja Lawak hingga ada wartawan hiburan yang menganggap tindakan Bob Lokman ini sebagai menutup periuk nasi sendiri?

Buku ini mengungkap secara ringkas perjalanan hidup seorang insan bernama Mohd Hakim bin Lokman dari zaman kenakalannya di sekolahnya hingga sekarang, dan juga susur galur keturunannya dari ulama terkenal iaitu Tok Kenali. Dididik dengan disiplin yang ketat oleh ayahnya dan kelembutan serta siraman ilmu agama dari datuknya membentuk diri Bob Lokman hingga dewasa.

Kejayaan dalam bidang muzik diuji Allah dengan sakit yang menyebabkan dia terlantar, sehingga membawa kepada keruntuhan rumahtangga yang pertama. Kereta dan rumah juga ditarik akibat kegagalan membayar ansuran. Tetapi dengan kecekalan hati dan tawakkal, dia mampu bangkit dari ujian yang berat itu.

Bagi peminat rock era akhir 80'an, Bob Lokman bukanlah nama yang asing walaupun dia bukanlah penyanyi atau gitaris mana-mana yang band rock yang terkenal pada masa itu.Bob Lokman adalah pengurus kumpulan WINGS dan antara yang bertanggungjawab menaikkan nama kumpulan itu hingga menjadi top hingga ke hari ini. Bob Lokman pernah digelar anggota ke 5 WINGS. Lirik-lirik tulisan beliau untuk kumpulan WINGS juga masih melekat hingga ke hari ini seperti lagu Taman Rashidah Utama, Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Dari Tuhan, Orang Kita, Tangisan Marhaen, Puisi Merdeka, Krisis Di Pertengahan Hidup dan banyak lagi.

Kerjaya penulisan lirik Bob Lokman mencapai kemuncaknya dengan lagu ISABELLA nyanyian kumpulan SEARCH yang telah meletup hingga ke seberang selat Melaka. Lagu ini telah mencetuskan fenomena ke seluruh ceruk rantau tanah melayu hingga dinobatkan sebagai lagu terbaik pada tahun 1989.

Walaupun buku ini boleh dianggap terlalu ringkas bagi menceritakan perjalanan hidup Bob Lokman, ianya sedikit sebanyak dapat mengenalkan kita insan istimewa ini. Gambar-gambar yang menghiasi halaman buku ini agak tidak relevan dan seolah-olah tangkap muat saja.

Antara lirik lagu oleh Bob Lokman yang terakhir untuk kumpulan WINGS dan antara yang paling 'touching' ialah lagu di bawah ini yang bertajuk 'Krisis Di Pertengahan Hidup' dari album 'Mencari Asal Usul'.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...